ASM 3 umum agihan pendapatan RM837.89 juta
AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM837.89 juta untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), yang akan memanfaatkan 650,487 pemegang unit yang kini memiliki 17.64 bilion unit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024.
Agihan pendapatan 4.75 sen seunit itu mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 bulan Maybank sebanyak 2.69 peratus pada 206 mata asas untuk tahun kewangan sehingga 24 September 2024, kata syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu melalui satu kenyataan pada Isnin.
Pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen dan sumber pendapatan lain daripada pelaburan domestik serta antarabangsa.
"Dana itu mencatatkan pendapatan realisasi bersih sebanyak RM820.32 juta, tahun ini. Dana tersebut mengekalkan strategi kepelbagaiannya, mengambil manfaat daripada peningkatan keyakinan dalam pasaran ekuiti tempatan dan trend positif dalam pasaran global, didorong oleh kemajuan dalam teknologi,” kata ASNB.
Pengiraan agihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan pada purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.
"Agihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Okt 2024.
"Transaksi untuk ASM 3 di cawangan serta ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah digantung buat sementara waktu dari 28 hingga 30 Sept 2024,” tambahnya.
Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau ejennya di seluruh negara mulai 1 Okt 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!