Gagal lunas caj penyelenggaraan, dua pemilik unit kondominium didakwa

Amirul Azizan (tengah) dan Mohd Zulkurnain (kiri) ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 9/2024 pada Isnin.
Amirul Azizan (tengah) dan Mohd Zulkurnain (kiri) ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 9/2024 pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua pemilik unit di Lagoonview Resort Kondominium di sini didakwa di mahkamah kerana gagal mematuhi award tribunal dikeluarkan Tribunal Pengurusan Strata di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, akta itu mengarahkan pemilik unit kondominium terbabit untuk menjelaskan caj penyelenggaraan tertunggak dalam tempoh 30 hari dari tarikh award dikeluarkan.

Jelasnya, tindakan tersebut diambil susulan aduan penguatkuasaan daripada Perbadanan Pengurusan (MC) Lagoonview Resort Kondominium mengenai pelanggaran Seksyen 123 Akta Pengurusan Strata 2013.

"Dengan keizinan bertulis daripada pendakwa raya, MBSJ telah memfailkan saman pada 20 Februari 2024 dan 23 April 2024 dan kedua-dua orang kena saman (OKS) telah mengaku bersalah di mahkamah.

"Mereka dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan kepada OKS pertama manakala OKS kedua dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut," ujarnya.

Amirul Azizan ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 9/2024 yang turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali di ibu pejabat MBSJ di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan undang-undang tersebut diharap dapat memberi kesedaran kepada pembeli dan pemilik petak berstrata dalam kawasan MBSJ.

"Tindakan ini juga agar mereka tidak memandang ringan terhadap award yang dikeluarkan Tribunal Pengurusan Strata.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia sebagai peringatan kepada pembeli dan pemilik petak berstrata agar membayar caj penyelenggaraan setiap bulan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) bagi memastikan pengurusan dan penyenggaraan bangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!