Eksploitasi wanita, kanak-kanak jadi fokus siasatan GISBH

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Pengeksploitasian wanita dan kanak-kanak termasuk pemerdagangan manusia antara fokus siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, elemen penguatkuasaan berpandukan kepada empat akta iaitu Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan Kanun Keseksaan.

"Kementerian Dalam Negeri menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menfokuskan berkaitan elemen pemerdagangan manusia seperti mereka yang bekerja tapi tidak dibayar gaji.

"Selain itu, turut menjadi fokus berkaitan soal berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak misalnya melibatkan jenayah seksual dan perkara ini turut bekerjasama dengan Jabatan Kimia serta Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Isnin.

Katanya, berkaitan dakwaan penyelewengan yang bertentangan dengan ajaran Islam, itu merupakan justifikasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepenuhnya.

"Soal berkaitan ajaran Islam selain Jakim, ia turut melibatkan jabatan dan majlis agama Islam di negeri-negeri untuk siasatan.

"Hal sama ada menyeleweng atau penerusan Aurat Muhammadiah yang mana dahulunya dijalankan organisasi iaitu nama lamanya Al-Arqam, keputusan itu telah dibuat kerajaan terdahulu, dan berkaitan itu terletak pihak jabatan agama memutuskannya," katanya.

Menurutnya, seramai 1,226 anggota dan pegawai pelbagai agensi terlibat dalam penguatkuasaan serta siasatan termasuk Jabatan serta Majlis Agama Islam di negeri.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, tindakan diambil dimulakan dengan proses intipan yang memakan masa lama sehinggalah beberapa siri operasi dan melibatkan serbuan dijalankan.

"Agensi yang terlibat antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pendaftar Pertubuhan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Selain itu turut terlibat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kimia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

Katanya, sebanyak 80 kertas siasatan dibuka pihak polis dan agensi-agensi terlibat.

"Kesemua kertas siasatan yang dibuka ini tentunya mengambil masa untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Saya nak sebutkan bahawa operasi penguatkuasaan yang dijalankan ini bukan melibatkan polis seperti mana dilihat menerusi liputan media kerana yang ke depan itu adalah Ketua Polis Negara.

"Sebenarnya penglibatan tindakan dan siasatan turut dijalankan pelbagai agensi lain misalnya JPN yang mana membuat semakan ke atas kanak-kanak ini melibatkan status dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir, kad pengenalan dan sebagainya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 laporan terbaharu daripada individu yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa GISBH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan mereka yang berumur 14 tahun hingga 20-an itu melibatkan kes yang berlaku sejak 2013 di Selangor, Sarawak dan Kedah.

Jelas beliau, sepanjang tempoh bermula 11 September lalu, lebih 300 individu diberkas manakala 572 kanak-kanak diselamatkan polis di rumah jagaan yang diserbu menerusi Ops Global.

Sebanyak 35 kertas siasatan dibuka dan 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISBH dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!