'Dorongan rakan bantu kenali Islam'
KUALA NERUS - Dua pelajar mualaf yang menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini mengakui rakan-rakan banyak memainkan peranan serta mendorong mereka untuk mengenali agama Islam.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Noor Firdaws Barakth Arunachalam Lakshmanan, 26, dari Seremban, Negeri Sembilan, berkata, dia mula mendalami agama itu sejak mempelajari sejarah Tamadun Islam ketika di Tingkatan Empat dan Lima.
Menurutnya, bermula dari situ dia mula mengkaji secara lebih mendalam termasuk latar belakang pembinaan Kaabah sebelum memutuskan untuk memeluk Islam ketika berusia 20 tahun.
"Saya mengkaji tentang Kaabah kerana terdapat golongan lain yang mendakwa ia merupakan tempat suci mereka, jadi saya mula kaji berkaitan itu dan mendapat tahu ia bahawa pada awalnya ia dibina oleh Nabi Ibrahim AS.
"Selepas itu, dengan sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan, saya mula mengkaji al-Quran dan mendapati ia adalah benar, sesuatu yang tidak boleh dinafikan dan dari situlah saya mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam," katanya ketika ditemui pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda UniSZA Sesi Kemasukan 2024/2025, di Kampus Gong Badak, di sini pada Ahad.
Noor Firdaws yang turut menerima skim biasiswa wakaf UniSZA merupakan bekas pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dalam jurusan Diploma Kewangan Islam itu.
"Walaupun tindakan saya memeluk Islam agak mengejutkan keluarga, saya bersyukur kerana perjalanan hidup saya sehingga kini mendapat sokongan.
"Sepanjang belajar di KUIPs kewangan saya ditanggung sepenuhnya oleh MAIPS sehingga habis tempoh pengajian di sana," katanya yang mendapat Purata Nilai Gred (PNG) 3.82.
Sementara itu, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi, UniSZA, Aaron Lim Teck Ming, 21, berkata, rakan-rakan ketika di sekolah menengah banyak membantu dirinya mendalami agama Islam.
Katanya, dia bersyukur kerana keputusan untuk memeluk agama itu pada Disember tahun lalu tidak mendapat tentangan hebat daripada keluarga.
"Rakan-rakan ketika di sekolah dulu banyak mendorong saya untuk mendalami agama Islam kerana ketika di peringkat sekolah menengah, saya banyak lihat rakan-rakan saya solat Jumaat dan sebagainya.
"Pada mulanya saya agak segan untuk menyatakan hasrat saya, tetapi lama-kelamaan saya belajar perlahan-lahan mengenai agama Islam.
"Bila dah bergelar Muslim, saya belajar cara hidup sebenar, macam mana nak jaga kebersihan, macam mana nak solat lima waktu.
"Saya akui saya kini lebih gembira dengan kehidupan sekarang kerana saya dapat satu cara hidup yang berbeza. Tahu bahawa ALLAH SWT itu benar dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh-Nya," katanya.
Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka yang juga bekas pelajar SMK Saint Francis itu merupakan salah seorang penerima biasiswa wakaf UniSZA.
Sementara itu, Pengarah Wakaf & Endowmen UniSZA, Dr. Ahmad Faizol Ismail berkata, setakat ini lebih 3,000 pelajar yang telah menerima manfaat itu sejak ia diperkenalkan pada 2016.
"Pada tahun lalu, seramai 21 pelajar menerima bantuan pelbagai antaranya bayaran yuran, sara hidup dan komputer riba dengan jumlah melebihi RM1 juta.
"Bagi tahun ini pula, dua pelajar berstatus mualaf ini merupakan antara penerima biasiswa penuh yang disalurkan meliputi pembayaran yuran, pengajian, asrama dan sara hidup dengan nilai lebih RM30,000 setiap seorang.
"Jadi kita amat berharap supaya golongan di luar sana dapat membantu dengan menyokong usaha kita agar lebih banyak pihak yang dapat menerima manfaat,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!