GISBH: KPT akan patuhi keputusan Majlis Raja-Raja

Mustapha
Mustapha
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mematuhi sebarang keputusan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja berkaitan warga KPT, termasuk kakitangan institusi pengajian tinggi (IPT) dan penuntut, sekiranya mereka terlibat dengan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya menunggu keputusan berhubung perkara itu selepas ia diperkenan oleh Majlis Raja-Raja yang dijadualkan bersidang pada Oktober ini.

"Kita tunggu keputusan dahulu, biasanya kita akur kerana itu adalah titah daripada Majlis Raja-Raja, baru kita lihat bagaimana.

"Setakat ini, kita tunggu apa yang dibincangkan, biasanya akan ada input daripada kementerian berkaitan sebagai pertimbangan," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Kuantan, pada Isnin.

Terdahulu, Mustapha merasmikan Simposium Elsevier MTUN Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Elsevier, yang memfokuskan pendekatan AI dalam memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terutama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Turut hadir, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.

Mustapha memaklumkan bahawa KPT tidak menerima sebarang maklumat berkaitan penglibatan kakitangan dan penuntut yang terpengaruh dengan GISBH.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang memantau sekiranya terdapat penglibatan individu dalam organisasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat yang kita maklum pada minggu lalu, tiada (penglibatan kakitangan IPT atau penuntut) di bawah KPT, tetapi kita sedang memantau, kalau ada penglibatan.

"Kita akan tunggu pada hari Rabu ini untuk mendapatkan maklumat (terkini) bagi membolehkan kita mengambil tindakan bersama," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibawa sebagai salah satu isu untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada minggu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!