Shanghai Shenhua mahu rantai Arif Aiman, Natxo Insa
DUA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dan Natxo Insa bakal menjadi tumpuan kelab China, Shanghai Shenhua pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa.
Menurut pengendali skuad yang terkenal dengan jolokan Shenhua itu, Leonid Slutsky, kedua-dua pemain berkenaan dilihat beraksi baik pada aksi sulung ACL Elite ketika berdepan Shanghai Port di Stadium Pudong, 18 September lalu.
“Ada dua main JDT yang akan kami berikan tumpuan iaitu pemain berjersi nombor 40 yang menjaringkan dua gol ketika berdepan Shanghai Port, sebelum ini.
“Seorang lagi pemain yang memakai jersi nombor 30 kerana dia dilihat mampu mengawal bola dengan baik dan melakukan gerakan-gerakan berbahaya dari tengah padang.
“Apa pun, kami akan mencuba sedaya upaya untuk memberikan aksi yang terbaik di sepanjang perlawanan ini nanti,” katanya.
Untuk rekod, JDT terikat 2-2 pada aksi sulung berdepan Shanghai Port, pada 18 September sementara Shanghai Shenhua pula melakar kemenangan 4-1 dengan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers, 17 September lalu.
Sementara itu, pemain Shanghai Shenhua, Joao Teixei berkata, kesemua pemain dilihat sudah cukup bersedia bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
Katanya, biarpun melalui jadual perlawanan yang agak padat, namun ia merupakan peraturan yang perlu dipatuhi.
“Bagi saya, kedua-dua pasukan dilihat memiliki peluang yang sama untuk menang pada perlawanan kali ini.
“Tapi, harus diingat bahawa esok merupakan saingan bagi Liga Juara-Juara AFC, satu pertandingan yang berbeza dan kami perlu melakukan yang terbaik untuk membawa pulang mata,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!