Koronavirus: Individu timbul, sebar pembohongan perlu disiasat

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang menimbulkan dan menyebarkan pembohongan dalam isu melibatkan jangkitan koronavirus di internet hendaklah disiasat dan sekiranya wujud kes, dituduh di mahkamah.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas membuat keputusan itu demi kepentingan negara dan menegaskan bahawa tidak terdapat kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah.

"Kebebasan untuk bercakap dan bersuara termaktub di bawah Perlembagaan serta jaminan hak di bawah undang-undang untuk tidak menapis internet seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak membenarkan seseorang untuk menyebarkan pembohongan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berasaskan latar belakangnya selaku Pendakwa Raya, Tommy berkata, beliau memandang serius pembohongan yang berleluasa berhubung jangkitan itu yang menjadi perhatian rakyat Malaysia dan masyarakat global.

Jelasnya fenomena itu semakin menjadi-jadi akibat ketaksuban masyarakat mengaitkan sentimen perkauman dan agama ke dalam setiap isu kehidupan awam yang boleh membahayakan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama erat dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang penyebaran kenyataan palsu berkaitan koronavirus dan pertuduhan akan dibuat terhadap individu-individu terbabit dalam masa terdekat.

Thomas berkata, individu-individu terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang menyentuh kenyataan berhubung khianat awam.

Katanya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ialah salah satu pilihan, bagaimanapun elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebelum seseorang itu disabitkan mahkamah di bawah peruntukan tersebut tidak menepati kategori kesalahan yang telah dilakukan mutakhir ini.

Artikel Berkaitan:

“Jelas di sini bahawa Seksyen 233 wajar dipertimbangkan oleh pihak Parlimen bagi tujuan pindaan dalam masa terdekat,” katanya.

Thomas turut meminta agar pihak berkuasa kesihatan diberi ruang untuk menangani masalah itu dengan tenang dan teliti tanpa perlu berdepan dengan isu-isu luaran yang tidak berkenaan.

“Jabatan ini dengan kerjasama polis, SKMM dan agensi kerajaan yang lain, bertekad untuk menghalang penyebaran kenyataan-kenyataan palsu berkaitan koronavirus. Pembohongan berkenaan dengan asal usul, skala dan keseriusan wabak tersebut tidak dibenarkan kerana ia memudaratkan keselamatan awam,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!