Polis periksa rumah ke rumah kenal pasti motosikal 'mat rempit'
IPOH - Polis Perak akan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk pergi ke rumah-rumah dalam mengatasi isu samseng jalan raya terutama dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pendekatan tersebut telah dibincangkan bersama pegawai berkaitan untuk dilaksanakan di negeri ini.
Menurutnya, ia termasuklah mengenal pasti pemilik motosikal yang telah dimodifikasi kerana ia merupakan perbuatan menyalahi undang-undang.
"Pendekatan-pendekatan menangani mat rempit ini saya telah bincang dengan Ketua Polis Daerah dan juga Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk menentukan bahawa kita wajar pergi ke rumah-rumah mereka yang modifikasi motosikal kategori sebagai mat rempit (samseng jalan raya).
"Jadi kita pergi ke rumah-rumah mereka ini tengok motosikal yang dimodifikasi dan kita akan ambil tindakan. Apakah tindakan yang boleh diambil? Modifikasi ini mungkin motosikal curi, dah diubah chasis, nombor enjin dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama PDRM dan Flash Express di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Mohd Taib, Chemor di sini pada Isnin.
Hadir sama pada program tersebut, Pengetua SMK Dato' Haji Mohd Taib, Norelawati Jawahir.
Sementara itu, ketika sidang media selepas program berkenaan, Azizi turut mengulangi bahawa usaha menangani jenayah samseng jalan raya tidak hanya tertumpu kepada penguatkuasaan di jalanan.
Menurutnya, ini kerana jumlah kemalangan melibatkan pelajar sekolah bagi tempoh Januari hingga Ogos meningkat berbanding tahun lalu iaitu daripada 602 kes kepada 622 kes pada tahun 2024.
"Usaha kita untuk menangani kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh mereka yang masih bersekolah merupakan satu target fokus kita bagi mengurangkan kemalangan nyawa dan juga kecederaan.
"Harus juga ada pendekatan-pendekatan sebelum kenderaan itu berada di jalan. Perlu adanya penguatkuasaan yang saya sebutkan tadi itu, perlu kita mapping dan kita pergi ke rumah-rumah untuk menentukan bahawa kenderaan itu sahih kenderaan yang dibenarkan berada di jalan raya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizi berkata, selain tumpuan terhadap kesalahan-kesalahan trafik melibatkan pelajar, beberapa kesalahan lain turut dalam perhatian pihak polis.
Menurutnya, trend bagi kesalahan berkaitan narkotik melibatkan pelajar menunjukkan menurun tetapi kesalahan yang melibatkan jenayah lain terdapat sedikit peningkatan.
Sehubungan itu beliau mengarahkan Pegawai-pegawai Perhubungan Sekolah supaya membuat program-program advokasi melibatkan kesalahan trafik dan pencegahan jenayah.
Menurutnya, program berbentuk advokasi perlu dilaksanakan secara berterusan kerana isu-isu jenayah begitu kompleks dengan trend terkini memandangkan golongan pelajar bukan hanya terdedah melalui persekitaran fizikal, tetapi dalam talian menerusi media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!