Polis cari dua lelaki disyaki simbah cat merah kereta penduduk

Notis tertera gambar kad pengenalan berselerak di hadapan rumah mangsa selain tiga kereta di hadapan rumahnya terkena simbahan cat merah dipercayai perbuatan along di Sitiawan pada Ahad.
Notis tertera gambar kad pengenalan berselerak di hadapan rumah mangsa selain tiga kereta di hadapan rumahnya terkena simbahan cat merah dipercayai perbuatan along di Sitiawan pada Ahad.
A
A
A

LUMUT - Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai sindiket along yang telah menyimbah cat pada tiga kenderaan milik penduduk di Taman Muhibbah, Sitiawan dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 5.30 pagi daripada seorang lelaki yang berusia 42 tahun.

Menurut beliau, kereta jenis Proton X70, Proton Persona dan Nissan Almera yang diletakkan di hadapan rumahnya telah disimbah cat berwarna merah.

"Saksi awam menyatakan ternampak dua lelaki menaiki kereta dengan nombor pendaftaran tidak pasti telah beberapa kali lalu lalang di kawasan perumahan tersebut.

"Pemeriksaan mendapati terdapat notis tertera gambar kad pengenalan milik seorang lelaki yang tidak dikenali mangsa tergantung di pagar rumahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Hasbullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Fairez Zukafli di talian 011-5761 7485 atau 05-688 6222 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!