Tiada penuntut B40 akan tercicir ke IPT akibat miskin - Mustapha

Mustapha (tengah) merasmikan Simposium Elsevier Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran UMPSA pada Isnin.
Mustapha (tengah) merasmikan Simposium Elsevier Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran UMPSA pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak akan membiarkan pelajar yang layak memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tercicir hanya kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran akibat kesempitan kewangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, terdapat pelbagai bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu mereka melanjutkan pengajian termasuk penangguhan bayaran yuran pendaftaran bagi penuntut daripada golongan B40.

Mustapha
Mustapha

"Menteri KPT (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) sudah memberi arahan kepada semua IPTA, jika ada masalah berkaitan penuntut tidak mampu atau golongan B40 untuk membayar wang pendaftaran awal, pihak IPTA diminta menangguhkan dulu pembayaran itu.

"Yang penting pelajar dahulu. kita tidak mahu ada yang tersekat dari segi yuran pendaftaran. Apabila mendapat surat tawaran, pelajar perlu berterus-terang.

"Semua pihak seperti HEPA (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan pihak universiti akan bantu, kita tidak mahu ada yang tercicir hanya disebabkan tidak mampu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Elsevier Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kisah seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rafida Zaiddin yang menggunakan guni untuk membawa barangan ketika mendaftar masuk asrama baru-baru ini, Mustapha menjelaskan, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Beliau bagaimanapun berharap kes pelajar UMS dapat membuka mata semua pelajar golongan B40 untuk menghubungi HEPA, jika mereka tidak mampu.

"Ini hanya satu kes yang kita nampak, dan ia menyedihkan, tapi (berdasarkan) pengalaman saya di kementerian ini, ada yang terpaksa melupakan hasrat masuk ke universiti disebabkan kekangan kewangan ini.

"Apabila kita datang mereka menangis dan mereka tidak tahu skim yang dibuat kementerian dan kerajaan negeri untuk membantu. Kadang-kadang maklumat tidak sampai kepada pelajar," ujarnya.

Dalam pada itu, Mustapha memberitahu banyak kaedah bantuan untuk golongan kurang berkemampuan seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional selain program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 (Sulung 2.0).

"Bagi B40 atau yang tersenarai dalam (sistem) eKasih, jika anak pertama berjaya masuk universiti, mereka tidak perlu membayar yuran sepanjang pengajian melalui program Sulung 2.0 itu," katanya.

Kisah Rafida yang tular di media sosial turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina melalui hantaran di Facebook pada Ahad, memaklumkan dia telah menghubungi remaja berkenaan dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan yang diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!