Budaya 'jatuh hukum' sebelum mahkamah perlu dihentikan - Tuan Ibrahim
SHAH ALAM - Budaya membuat ‘keputusan’ sebelum mahkamah memutuskan sesuatu perkara perlu dihentikan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seharusnya semua pihak perlu membiarkan siasatan lengkap oleh polis, agensi penyiasat, badan berautoriti agama sehinggalah keputusan dikeluarkan oleh mahkamah.
Menurutnya, ramai yang mengulas isu siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sehingga menggambarkan seolah-olah mereka sudah dijatuhkan hukuman bersalah.
“Semua pihak selain hakim, termasuk penyiasat tidak mempunyai autoriti yang boleh menentukan sama ada satu-satu pihak itu bersalah atau sebaliknya.
“Budaya menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah memutuskannya jelas bercanggah dengan kaedah pengasingan kuasa yang menjadi teras dalam negara.
“Malah, saya melihat ia lebih malang jika pihak yang melakukan penyiasatan terus menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ dan seolah-olah memberi tekanan kepada mahkamah agar seiring dengan ‘keputusan’ mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, pihak polis menerusi Op Global melakukan serbuan terhadap rumah-rumah amal di seluruh negara yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.
Tuan Ibrahim menegaskan untuk membiarkan mahkamah membuat keputusan dan tindakan yang sepatutnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
Ujarnya, ia tidak terhad kepada isu GIBSH sahaja, namun semua kes mahkamah adalah tempat bergantung orang ramai untuk menegakkan hak dan keadilan.
“Budaya ‘penyiasat’ terjak membuat keputusan mesti dihentikan demi menegakkan keadilan sekali gus mengukuhkan pengasingan kuasa dalam dasar negara,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!