Pekerja kilang mengaku miliki bahan, sokong kumpulan Daesh

Suhaini (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor Bahru pada 27 Jun lalu.
Suhaini (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor Bahru pada 27 Jun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan memiliki item dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, pada empat bulan lalu.

Suhaini Sarwan, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan prosiding jatuh hukum pada 16 Oktober depan, bagi memberi masa kepada pihak pembelaan mengemukakan rayuan lengkap.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan perlakuan pengganas di dua telefon bimbit jenis Oppo dan Honor Lite 90, di Kawasan Perindustrian Kempas, Johor Bahru, pada jam 1.15 tengah hari, 30 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 130JB (1) kanun yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda, dan dirampas harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh memberi sokongan kepada Daesh menggunakan aplikasi, Facebook atas nama ‘Suhaini Sarwan’ dan ‘Enma Kenma’, di Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, pada jam 5.50 petang, 27 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 130J(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun atau denda, dan dirampas harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

“Saya mengaku bersalah,” katanya yang dibawa ke mahkamah tanpa kehadiran peguam.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh sekali lagi mengulangi pernyataan itu, selepas disoal sama ada dia memahami kesan dan akibat daripada pengakuan terbabit.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim berkata, semasa prosiding kes di Johor Bahru, tertuduh telah diwakili peguam daripada Jabatan Bantuan Guaman.

“Memandangkan peguamnya tidak hadir ke mahkamah hari ini, maka saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk prosiding jatuh hukum.

“Selain kes ini, dia juga berdepan dua lagi pertuduhan lain, yang mana kami akan membuat permohonan untuk dipindahkannya ke mahkamah ini,” katanya.

Untuk rekod, Suhaini dan suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 25 Jun lalu, atas lima pertuduhan berasingan iaitu menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan Daesh, pada Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!