Terengganu catat nilai jualan RM528,000 di MAHA 2024
KUALA TERENGGANU - Pavilion Terengganu di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bermula 11 September lepas berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM528,000.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pavilion Terengganu juga berjaya menarik 156,000 pengunjung sepanjang 12 hari penganjurannya.
"Pavilion Terengganu menjadi antara yang paling ramai menarik kehadiran pengunjung sekali gus dapat memperkenalkan pelbagai produk keluaran negeri Terengganu kepada orang ramai.
"Ia juga dapat membantu pengusaha-pengusaha mengembangkan perniagaan mereka selain menjana pendapatan yang sangat lumayan sepanjang penganjuran MAHA tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Sementara itu, Azman menyatakan beberapa projek pelaburan melibatkan penternakan dan pertanian kini dalam peringkat perbincangan untuk mengusahakannya.
"Kita sedang dalam perbincangan terakhir dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan ladang ternakan ayam daging di Gong Katup, Setiu dengan pelaburan bernilai ratusan juta.
"Insya-ALLAH...kita yakin projek ini boleh dijayakan. Selain itu, ada beberapa projek dalam peringkat perbincangan antaranya Taman Stevia dan pelaburan sektor padi di Kampung Jelapang, Langkap.
"Mengenai pelaburan di Kampung Jelapang, ia melibatkan kira-kira 100 ekar tanah yang terbiar sekali gus dengan harapan dapat menghidupkan semula kawasan jelapang padi di kampung tersebut," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!