Wujud undang-undang khusus cegah pelampau keganasan - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Satu undang-undang khusus perlu diwujudkan bagi menjamin keselamatan negara dalam usaha kerajaan untuk menangani pelampau keganasan.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akta itu bukan untuk menyekat hak dan kebebasan rakyat tetapi bertujuan mencegah sebarang elemen keganasan dari terus disebar luas termasuk doktrin dan ketaasuban yang melampau.

“Saya serah kepada kebijaksanaan polis dan tentera serta agensi penguatkuasaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di sini, pada Isnin.

Tambah Anwar, kerajaan sedia mempertahankan akta tersebut sekiranya dikritik oleh pihak tertentu.

"Sekiranya terdapat elemen yang perlu dimasukkan belum cukup kuat dalam undang-undang negara, tentunya akan disergah oleh pihak tertentu.

"Insya-ALLAH kita akan pertahankan," ujarnya.

Majlis peluncuran MyPCVE itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Artikel Berkaitan:

MyPCVE mengandungi empat teras utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Setiap teras mempunyai fokus strategik yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua pihak termasuklah agensi penguat kuasa, penggubal dasar dan pelaksana dengan usaha kolaboratif bersama pertubuhan masyarakat sivil seperti ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan dan masyarakat setempat.

Keempat-empat teras MyPCVE menggunakan pendekatan bersepadu yang menggabungkan 'soft and hard approach'.

Anwar berkata, sebagai sebuah negara kecil dan maju, Malaysia akan mengelak daripada terlibat dengan mana-mana perseteruan yang melibatkan senjata, namun ia tidak melepaskan negara ini daripada tanggungjawab menyokong yang hak dan menolak kebatilan.

"Saya hendak tegaskan bahawa usaha kita kerana menjamin keselamatan negara itu tetap menjadi keutamaan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kegiatan sekolah, jabatan, fahaman politik dan kumpulan tertentu akan dipantau bagi mengelakkan berlaku insiden keganasan yang tidak diduga.

"Tentu itu harus dipantau. Kalau tidak, kita akan dikejutkan dengan tindakan keganasan yang kita saksikan," ujar Anwar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!