Hentikan parodi lagu-lagu Abuya, bimbang pesong akidah
TUMPAT - Jabatan Mufti Negeri Kelantan meminta orang ramai agar segera berhenti daripada melakukan parodi atau terikut-ikut dengan nyanyian yang ada kaitan dengan fahaman dipercayai sesat cuba dibawakan oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata, perkara itu dibimbangi akan memesongkan akidah kerana lagu terbabit memuja sosok Abuya Ashaari atau nama sebenarnya Ashaari Muhammad juga pengasas kumpulan Al-Arqam.
“Bait-bait umpama zikir yang tidak elok itu ialah sambungan semasa Ashaari masih hidup dan sudah diputuskan hukumnya sesat.
“Jadi, tidak boleh dipanjang-panjangkan lagi apatah lagi berkait dengan puja-memuja manusia dan perlu dihentikan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pengisytiharan dan Anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) Penulisan 3 Juta Kalimah Allah di Bumi Kelantan di Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanus Saadah, Morak, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, kumpulan Al-Arqam sudah difatwakan sesat oleh negeri-negeri di Malaysia sejak dahulu lagi termasuk Kelantan kerana bertentangan dengan agama Islam.
Katanya, sehubungan itu, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak membiarkan orang lain pula termasuk golongan kanak-kanak menyanyikan lagu-lagu kumpulan terbabit.
“Abuya itu memang tidak benar dan sesat, tiba-tiba kita nak sanjung dia dan sebagainya, itu memang tak betul.
“Kalau kita buat perkara yang mereka buat, jadi kita sama macam merekalah,” katanya.
Sebelum ini, media sosial dibanjiri lagu-lagu dikaitkan dengan fahaman kumpulan Al-Arqam selepas pembongkaran kegiatan GISBH berkait dakwaan eksploitasi manusia dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!