Mangsa banjir Kedah meningkat 1,380, ditempatkan di 10 PPS

Laluan di Jalan Derang menuju Pokok Sena dinaiki air disebabkan air sungai di Kampung Bukit dan Kampung Menerong di Mukim Derang semakin meningkat pada Isnin. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman
Laluan di Jalan Derang menuju Pokok Sena dinaiki air disebabkan air sungai di Kampung Bukit dan Kampung Menerong di Mukim Derang semakin meningkat pada Isnin. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,380 orang daripada 442 keluarga setakat jam 4 petang pada Isnin.

Berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu meningkat sedikit berbanding 1,359 orang daripada 436 keluarga di tiga daerah di negeri ini pada malam Ahad.

Daerah Pokok Sena mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 733 orang daripada 231 keluarga yang ditempatkan di lima buah PPS iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang, Masjid Kampung Baru Jalan Lampam dan Surau Desa Keda Derang.

Daerah kedua tertinggi yang menempatkan mangsa banjir adalah Kota Setar dengan seramai 411 orang daripada 129 keluarga dan berlindung di tiga buah PPS iaitu SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.

Di daerah Kubang Pasu, seramai 236 mangsa daripada 82 keluarga pula ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan PPK Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 4 petang Isnin, paras Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di Kampung Bata dalam daerah Kubang Pasu telah melepasi paras bahaya.

Dua lagi sungai di daerah Kota Setar berada pada paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR manakala satu lagi di daerah Pendang iaitu Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!