Dua pejalan kaki maut dirempuh kereta ketika lintas jalan

Dua maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran simpang Kampung Rugading, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, pada Isnin.
Dua maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran simpang Kampung Rugading, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, pada Isnin.
A
A
A

TUARAN - Dua pejalan kaki maut dipercayai akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian berhampiran simpang Kampung Rugading, Jalan Kota Kinabalu - Tuaran, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, kedua-dua wanita berusia 51 dan 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan dua pejalan kaki.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua pejalan kaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu yang terlibat telah tampil di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sejurus sahaja laporan polis diterima," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, setakat ini beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan.

"Pemandu juga telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!