Isteri Daim buat laporan polis, dakwa jadi mangsa motif politik
PETALING JAYA - Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid membuat laporan polis berhubung artikel sebuah agensi berita mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suaminya.
Na'imah berkata, apa yang selama ini dianggap rahsia terbuka di negara ini kini telah disahkan oleh sebuah agensi berita antarabangsa terkemuka.
Beliau berkata, ia adalah satu rahsia terbuka bahawa Daim dan dirinya menjadi sasaran kepada siasatan bermotif politik serta tuduhan palsu yang didalangi pemimpin tertinggi negara.
"Kenyataan ini kini disahkan secara bebas menerusi penyiasatan teliti oleh wartawan sebuah agensi berita terkemuka.
"Pada 2015, pendedahan kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Wall Street Journal merupakan titik perubahan bagi negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Na'imah berkata demikian selepas memfailkan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Kata beliau, pendedahan agensi berita itu pada minggu lalu mengenai penyalahgunaan kuasa, konspirasi dan usaha menutup kesalahan dalam kalangan tertinggi kerajaan adalah satu lagi titik perubahan yang serupa dan ia perlu disiasat.
Menurutnya, dengan dendam politik yang tidak berkesudahan terhadap Daim, salah guna jawatan oleh pemimpin negara dilakukan untuk mencapai matlamat masing-masing.
"Kini kami menuntut keadilan. Kami mahu siasatan jenayah terhadap salah guna kuasa, konspirasi dan perlakuan berunsur jenayah oleh pemimpin negara.
"Ini adalah konspirasi untuk menyasarkan musuh politik dengan memanipulasi institusi negara dan badan penguatkuasa seperti yang dibuktikan oleh pendedahan portal berita antarabangsa.
"Kita sedia maklum, Daim dan saya bukan satu-satunya yang dijadikan mangsa sejak mereka mendapat kuasa," ujarnya.
Dakwanya, tindakan pemimpin negara menyalah guna kuasa bukan sesuatu yang baharu.
Jelasnya, sejak artikel itu diterbitkan, pihaknya disajikan penafian yang biasa didengari daripada pelbagai pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!