AMK Johor kesal kenyataan Akmal Salleh

Mohamad Taufiq
Mohamad Taufiq
A
A
A

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan menyuarakan kekesalan terhadap kenyataan terbaharu daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh mengenai tiada keperluan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Johor.

Ketuanya, Mohamad Taufiq Ismail berkata, kenyataan berkenaan nyata bercanggah dengan realiti politik semasa selain turut menunjukkan keangkuhannya bagi menafikan keputusan yang telah dicapai melalui kerjasama kukuh antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan Akmal Salleh yang dilihat cuba menimbulkan keraguan dan memecahbelahkan hubungan antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas dan menyesatkan.

“Fakta menunjukkan bahawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, BN berjaya memperoleh 16,611 undi dengan majoriti 5,166 undi.

“Bagaimanapun, hasil kerjasama erat antara BN dan PH dalam PRK DUN Mahkota kali ini, BN berjaya meningkatkan undinya kepada 27,995 atau peningkatan sebanyak 42 peratus selain menunjukkan peralihan undi penyokong PH kepada BN adalah bukti kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Akmal berkata demikian pada sidang media kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada 28 September yang sekali gus mengundang cadangan oleh beberapa pihak agar BN bekerjasama dengan PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Bagaimanapun, pimpinan BN buat masa ini tidak melihat keperluan merealisasikan cadangan itu bagi memberi tumpuan untuk pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, terus berjalan lancar sehingga tamat penggal.

Sementara itu, Mohamad Taufiq menegaskan bahawa Akmal perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang disuarakannya selepas ini terutamanya apabila ia melibatkan prinsip Kerajaan Perpaduan yang sedang giat diperkukuhkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sikap sombong dan angkuh dalam menyuarakan pendapat tanpa mengambil kira kesan terhadap keharmonian politik negara boleh mengundang pelbagai masalah, termasuk ketegangan antara parti-parti komponen yang berusaha membina persefahaman bersama.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja melemahkan momentum perpaduan yang sudah mula terbentuk, tetapi juga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap usaha untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negara.

“Oleh itu, penting bagi semua pihak untuk lebih berwaspada dan memastikan setiap kenyataan yang dibuat seiring dengan usaha memupuk perpaduan yang lebih erat demi kebaikan bersama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!