Sesi libat urus RMK13 bermula esok
SHAH ALAM - Kementerian Ekonomi akan mengadakan sesi libat urus bertujuan mengumpulkan input kreatif yang bebas daripada rakyat sempena Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia sebagai pendekatan segar untuk membuka ruang idea yang bebas daripada semua pihak untuk merangka dokumen RMK13.
Menurutnya, sesi tersebut akan dilaksanakan pada 1 Oktober ini untuk merealisasikan hasrat pendekatan keseluruhan negara.
“Sesi libat urus dalam tiga sesi berbeza itu akan disertai oleh saya pada hari yang sama iaitu kerajaan-kerajaan negeri, pemain industri, badan bukan kerajaan (NGO), pemikir awam, gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) dan masyarakat.
“Sesi libat urus bersama kerajaan negeri akan diadakan di seluruh negara bermula dengan Selangor esok, 1 Oktober 2024,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Rafizi yang menerajui usaha untuk melancarkan sesi libat urus itu berkata, inisiatif tersebut merupakan komponen utama RMK13 untuk menggalakkan penyertaan dan dialog yang aktif.
RMK-13 akan hampir menyamai RMK-1, dokumen strategik yang dikenali dengan ciri ringkas dan padat serta menyeluruh dengan setiap aspek adalah komited kepada hala tuju dasar tertentu.
Rafizi memaklumkan sesi itu akan dipanggil sebagai ‘Madani Mendengar’ iaitu platform untuk orang ramai memainkan peranan aktif dalam proses tersebut.
“Bagi sesi ini, saya menjemput semua untuk hadir mengambil bahagian dalam perbincangan ini. Mohon sebarkan,” katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!