Jari Mohd Elmi tak putus tetapi patah

Jari tangan Mohd Elmi yang kelihatan berdarah selepas kemalangan. Foto: Media sosial
Jari tangan Mohd Elmi yang kelihatan berdarah selepas kemalangan. Foto: Media sosial
A
A
A

JURULATIH skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Yusof Nasir menafikan jari pelumba berpengalaman skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Elmi Jumari putus seperti yang tular di media sosial.

Sebaliknya, Mohd Yusof memberitahu jari tangan kiri Mohd Elmi patah ketika terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter sebelum garisan penamat dalam perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth sejauh 154 kilometer (km) pada Isnin.

Malah, nasib Mohd Elmi bagai jatuh ditimpa tangga selepas turut didenda RM978.50 oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menerusi keputusan yang dikeluarkan oleh komisar LTdL 2024, Mohd Elmi didakwa menjadi punca kemalangan peringkat kedua ketika 100 meter sebelum menuju ke garisan penamat.

"Saya dimaklumkan Mohd. Elmi mengalami patah jari dan bukan putus seperti yang ditularkan.

"Namun, Mohd Elmi berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan tetapi belum boleh menerima mana-mana pelawat ketika ini," katanya.

Perlumbaan LTdL peringkat kedua dimenangani oleh pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 54 saat.

Tempat kedua milik pelumba Polti Kometa, Manuel Penalve Aniorte dan ketiga, pelumba pasukan Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!