KKM kesan lima produk kosmetik ada racun berjadual
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan lima produk kosmetik mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan dijual di pasaran.
KKM berkata, ia mengandungi hydroquinone, clindamycin, metronidazole, tretinoin dan betamethasone 17-valerate merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Menurutnya, ia hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
“Lima produk itu adalah Karisma Aqua Birds Nest; 2 Skin Revolution – PAP – Blemish Control Serum; Skin Revolution -PAP – Blemish Fade Cream; Ufora Daily Treatment 10g dan Dnars Gold Debalen Cream (Night),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
KKM menyarankan penjual dan pengedar produk berkenaan untuk menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Ujarnya, penjualan dan pengedaran itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.
Dalam kenyataan sama, KKM turut menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut untuk menghentikan penggunaannya.
Katanya lagi, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang dimuat turun daripada Google Play Store,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!