Sabah sedia kendali kes koronavirus

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah telah menetapkan langkah-langkah yang diperlukan untuk menangani wabak koronavirus dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan kes itu jika ada di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, pada masa ini, tiada kes disahkan koronavirus di Sabah, bagaimanapun hospital-hospital di negeri ini bersedia untuk menanganinya.

“Sebaik sahaja terdapat kes disyaki di Sabah, Jabatan Kesihatan Sabah akan mengklasifikasikan pesakit sebagai Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) dan memulakan proses pemantauan epidemik untuk memeriksa sama ada mereka dijangkiti novel koronavirus atau tidak, termasuk menempatkan PUI di wad pengasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Frankie berkata, makmal kerajaan di Kota Kinabalu mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian bagi koronavirus.

Beliau berkata, ujian itu boleh dijalankan dan diproses di Sabah tanpa perlu dilakukan di Kuala Lumpur.

Ini katanya, akan membolehkan pengesanan dan pengesahan status bagi PUI yang lebih cepat.

Frankie hari ini diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dan beberapa pegawai dan pakar mengenai langkah pencegahan untuk menangani virus itu di Pusat Kesediaan Krisis dan Tindak Balas di jabatan itu.

Beliau turut mengingatkan mereka yang mempunyai gejala koronavirus seperti demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas supaya mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau klinik berdekatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!