LHDN laksana lebih 60 semakan audit terhadap GISBH
SHAH ALAM - Sebanyak lebih 60 semakan audit dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), syarikat-syarikat dan individu yang berkaitan bagi tahun taksiran sebelum ini.
LHDN berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan penaksiran, auditan, siasatan dan pemungutan dalam memastikan pematuhan cukai sentiasa berada di tahap yang baik.
Menurutnya, GISBH, syarikat-syarikat serta individu yang berkaitan dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi tahun taksiran yang diaudit.
“Kompaun dan penalti cukai yang dikenakan telah dibayar oleh pembayar cukai.
“Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISBH, syarikat serta individu yang berkaitan dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai yang lain.
“LHDN ingin menegaskan bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada pembayar cukai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ia dikeluarkan bagi menjawab kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini yang menyatakan GISBH tidak pernah membayar cukai.
Beliau berkata, ia selari dengan siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Mengulas lanjut, LHDN memaklumkan kerjasama antara pihak berkenaan dengan PDRM bertujuan untuk melengkapkan siasatan berdasarkan maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi tahun taksiran terkini.
Ujarnya, tindakan pendakwaan dan penalti di bawah akta tersebut akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang berkaitan.
“Usaha-usaha membanteras ketidakpatuhan cukai akan terus dilakukan oleh LHDN agar memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan LHDN negara,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!