Pemecatan salah: Bekas juruhebah Kool FM diberi pampasan RM56,000
Mahkamah Rayuan memberikan pampasan sebanyak RM56,000 kepada bekas juruhebah radio Khairu Norliza Khairudin selepas memutuskan bahawa beliau telah dipecat secara salah pada 2018. - Gambar hiasan
A
A
A
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Azimah Omar serta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat perintah itu selepas membenarkan rayuan Khairu Norliza terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan pampasan yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan.
Swee Seng yang mempengerusikan panel itu, bagaimanapun mengurangkan jumlah pampasan RM133,000 yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada RM56,000.
Beliau berkata, jumlah pampasan itu dikurangkan itu bagi menampung baki lapan bulan kontrak Khairu Norliza, 38, berdasarkan gaji bulanannya sebanyak RM7,000.
Hakim itu berkata, keputusan Kool FM Radio Sdn Bhd untuk menukar status Khairu Norliza, yang lebih dikenali sebagai Liza Khairudin, daripada petugas kepada pekerja kontrak bebas adalah tidak wajar kerana beliau tidak diberikan pilihan dalam perkara tersebut.
Pada 14 Februari 2020, Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa Khairu Norliza telah dibuang kerja tanpa sebab yang munasabah dan memerintahkan stesen radio itu membayar RM133,000 untuk tunggakan gaji serta pampasan sebagai ganti diambil bekerja semula.
Khairu Norliza berkata, beliau telah ditawarkan jawatan sebagai juruhebah radio selama setahun dengan Hot FM dari 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015 dan kontraknya dilanjutkan setahun lagi iaitu hingga 31 Mac 2016.
Syarikat itu kemudian memeterai kontrak dengan Studio Synchrosound selama tiga tahun dari 1 April 2016 hingga 31 Mac 2019 yang menyaksikan Khairu Norliza bertugas sebagai juruhebah radio untuk Kool FM.
Pada 2017, Khairu Norliza dimaklumkan bahawa syarikat itu berhasrat mengambil beberapa juruhebah radio termasuk beliau sebagai petugas kontrak bebas berbanding pekerja dan mereka diminta mendaftarkan perniagaan sendiri untuk mengikat kontrak dengan syarikat tersebut.
Khairu Norliza telah mendaftarkan perniagaan di bawah nama LKD Empire Sdn Bhd dan menandatangani perjanjian sebagai petugas kontrak bebas pada 27 Disember 2017.
Perjanjian itu menyatakan bahawa syarikatnya akan menyediakan perkhidmatan juruhebah radio kepada stesen itu selama tiga tahun dari 1 Disember 2017 hingga 31 Mac 2019.
Bagaimanapun, kontrak itu ditamatkan pada 1 Ogos 2018 dan tidak berpuas hati dengan tindakan itu, Khairu Norliza telah memfailkan aduan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan, yang kemudian dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!