Hizbullah akan pilih pengganti Nasrallah secepat mungkin
BEIRUT - Hizbullah pada Isnin berikrar akan segera memilih pengganti kepada pemimpin yang terbunuh, Hassan Nasrallah, dan meneruskan perjuangan kumpulan itu menentang Israel, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Timbalan ketua Hizbullah, Naim Kassem dalam ucapan yang disiarkan di televisyen berkata kumpulan itu akan memilih pengganti Nasrallah untuk memegang jawatan setiausaha agung "secepat mungkin".
Beliau menjelaskan bahawa struktur organisasi kumpulan itu membolehkan mereka mencari pengganti bagi semua anggota kanan, susulan mempunyai timbalan dan anggota yang berkelayakan.
"Kami tahu pertempuran ini mungkin berpanjangan, dan kami bersedia untuk sebarang kemungkinan.
"Jika Israel memutuskan untuk melancarkan serangan darat, kami bersedia untuk bertempur di darat,” kata Kassem dalam ucapan yang disiarkan oleh saluran TV al-Manar.
"Israel tidak akan dapat menjejaskan keupayaan ketenteraan kami," katanya, sambil berikrar untuk terus menyokong rakyat Palestin di Gaza.
Kassem mengenakan pakaian serba hitam dan berada di dalam sebuah bilik tertutup, menafikan khabar angin bahawa beliau terbunuh dalam serangan yang sama dengan Nasrallah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!