Penantian 80 tahun penduduk berakhir
BATU GAJAH - Impian 125 penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Papan sejak 80 tahun lalu untuk mendapatkan geran tanah bakal berakhir.
Mereka menerima khabar gembira apabila menerima Notis 5A yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri memahami harapan rakyat di RPT Papan yang telah menanti geran masing-masing selama hampir lapan dekad.
“Saya faham orang di sini dah lama tinggal di sini, sejak tahun 1940an. Kita (kerajaan negeri) sudah selesaikan masalah ini dalam tempoh kurang satu tahun.
“Ini adalah sebahagian dari keadilan yang kita mahu berikan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A kepada 49 penduduk di Dewan Tokong Koon Yin, Papan, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong; Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dan Pegawai Daerah Kinta, Haliza Sipun.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, proses pengeluaran Notis 5A untuk baki 76 penduduk di RPT tersebut sedang dalam proses dan akan diserahkan kepada penduduk sebaik selesai.
Beliau berkata, semua penerima Notis 5A itu dinasihatkan membayar premium tanah kediaman masing-masing di pejabat tanah berdekatan bagi membolehkan proses pengeluaran geran dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!