KKM kuat kuasa Akta 852 secara serta-merta, berfasa mulai 1 Oktober
SHAH ALAM - Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober 2024.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan akta itu akan melibatkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.
Menurutnya, ia susulan KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika disasarkan kepada golongan kanak-kanak serta remaja.
"Aspek yang akan dikuatkuasakan serta-merta adalah seperti peruntukan melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bagi mengekang kebolehdapatan keluaran tersebut.
"Selain itu, peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri," katanya pada Isnin.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah KKM mewartakan Akta 852 bermula 2 Februari lalu adalah sejajar usaha mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.
Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas.
Tambah kenyataan itu, penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam sehingga 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa bagi aspek-aspek pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
"Ia turut termasuk aspek pembungkusan dan pelabelan yang akan dikuatkuasakan mengikut produk selewat-lewatnya 1 Oktober 2025 serta kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.
"Penguatkuasaan undang-undang secara berkesan dan mampan memerlukan persefahaman dan kerjasama daripada semua pihak. Untuk tujuan itu, KKM akan turut menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi untuk membantu seluruh pemegang taruh memahami Akta ini dengan lebih jelas," katanya.
Selain itu, jelasnya, KKM akan meneruskan sesi libat urus berkaitan pematuhan akta berkenaan terutama dengan pemain industri.
"Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 boleh dibuat di talian 03-8892 4552 atau melalui aplikasi WhatsApp di 010-860 8949 pada Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang bermula 30 September 2024," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!