Israel terus mengebom Lubnan

Asap tebal menjulang ke langit selepas serangan udara Israel melanda pinggir bandar Beirut.- AFP
Asap tebal menjulang ke langit selepas serangan udara Israel melanda pinggir bandar Beirut.- AFP
A
A
A

BEIRUT - Israel mengumumkan pada Sabtu bahawa tenteranya telah membunuh Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dalam siri serangan udara sehingga menggegarkan seluruh ibu negara Lubnan, Beirut pada petang Jumaat.

Beberapa jam selepas itu, Hizbullah mengesahkan kematian Hassan oleh serangan udara Israel itu.

Serangan terbaru rejim Zionis berikutan pelancaran ratusan roket oleh pejuang Hizbullah rentas sempadan ke Tel Aviv yang menyaksikan penduduk Israel huru-hara dan lari keluar dari wilayah tersebut.

Berikut adalah kronologi mengenai konflik yang dibimbangi akan merebak meluas.

17 September

Ribuan alat kelui milik anggota Hizbullah dilaporkan meletup secara serentak di seluruh Lubnan dan Syria yang membunuh sekurang-kurangnya 13 orang termasuk beberapa orang kanak-kanak dan mencederakan kira-kira 4,000 orang manakala ratusan lagi berada dalam keadaan kritikal.

Penduduk Pakistan membawa potret Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah sebagai memprotes pembunuhannya di Karachi. - AFP
Penduduk Pakistan membawa potret Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah sebagai memprotes pembunuhannya di Karachi. - AFP

18 September

Artikel Berkaitan:

Gelombang kedua letupan radio walkie talkie di Lubnan telah mengorbankan 14 orang dan mencederakan 450 yang lain. Walaupun Israel tidak mengaku sebagai dalang serangan itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pernah menyatakan mereka melakukan 'percapaian cemerlang' oleh agensi perisikan Mossad yang membawa 'hasil mengagumkan'.

19 September

Israel berkata, tenteranya menyerang ratusan roket di selatan Lubnan.

20 September

Israel menyerang bangunan kediaman yang padat dengan penduduk di pinggir bandar Beirut pada waktu puncak. Kemudian, rejim Zionis mengumumkan mereka membunuh Komander Tentera Hizbullah, Ibrahim Akil.

21 September

Tentera udara Israel menyerang kira-kira 400 sasaran Hizbullah di Lubnan. Sasaran termasuk pelancar roket dan infrastruktur ketenteraan di selatan Lubnan yang digunakan untuk melancarkan serangan ke wilayah Israel.

22 September

Hizbullah dan Israel berbalas tembakan pada skala besar-besaran semalaman di mana penduduk Lubnan menyaksikan letupan besar hingga mencetuskan asap hitam di ruang udara ibu negara Beirut.

23 September

Israel memberitahu penduduk di selatan Lubnan untuk berpindah hanya beberapa jam sebelum melancarkan kira-kira 1,300 serangan udara. Serangan itu telah mengorbankan 559 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dan mencederakan 1,800 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Pada hari sama, Hizbullah melancarkan serangan balas dengan 200 roket di utara Israel, yang kebanyakannya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel atau Iron Dome.

24 September

Pertempuran sengit antara Hizbullah dan Israel semakin sengit apabila tentera rejim Zionis berterusan mengebom di seluruh Lubnan dan menyebabkan jumlah korban bertambah.

25 September

Peluru berpandu jarak jauh yang sampai ke Tel Aviv sebelum ditembak jatuh tentera Israel.

Serangan itu adalah kali pertama Hizbullah yang berjaya menerobos ibu negara Israel sehingga mencetuskan serangan balas dan mengorbakan 72 orang awam Lubnan dan 400 cedera.

Serpihan walkie talkie yang meletup di Lubnan yang didalangi perisik Israel. - AFP
Serpihan walkie talkie yang meletup di Lubnan yang didalangi perisik Israel. - AFP

26 September

Di tengah Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat dan Perancis dan disokong anggota negara G7 mencadangkan gencatan senjata selama 21 hari antara Israel dan Lubnan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menolak cadangan itu.

Kemudian, Hizbullah melancarkan puluhan roket ke arah utara Israel, yang kebanyakannya dipintas, manakala Israel berkata ia melakukan lebih 200 serangan udara di Lubnan yang membunuh 92 orang lagi dan mencederakan lebih 150.

Komander tentera udara Hizbullah, Mohammed Hussein Sarour, dilapor terbunuh.

27 September

Semasa di UNGA, Netanyahu mendakwa Israel 'menang' dalam perangnya dan akan menyerang Iran dan proksinya di mana-mana lokasi di Asia Barat.

Ramai perwakilan di dewan PBB meninggalkan kerusi duduk semasa dia berucap di perhimpunan itu.

28 September

Beberapa jam kemudian, tentera Israel mengumumkan bahawa pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan di Beirut. Hizbullah kemudian mengesahkan kematian Hassan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!