Bukan 'bunuh' peluang pemain tempatan

Pertambahan pemain import membolehkan setiap pasukan yang menggalas nama Malaysia ke ACLE, ACL 2 dan ACC untuk melakukan persiapan lebih rapi dalam pembentukan pasukan masing-masing sebelum saingan musim baharu. Gambar hiasan Bernama
Pertambahan pemain import membolehkan setiap pasukan yang menggalas nama Malaysia ke ACLE, ACL 2 dan ACC untuk melakukan persiapan lebih rapi dalam pembentukan pasukan masing-masing sebelum saingan musim baharu. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

PENTADBIR Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengambil pendekatan berani apabila membenarkan kelab-kelab Liga Super yang mewakili negara dalam Kejuaraan Asia dan Asia Tenggara (ASEAN) mendaftarkan 12 pemain import.

Pendekatan drastik ini satu lagi anjakan paradigma bersifat lebih telus dan tulus bagi menyerlahkan lagi potensi beberapa kelab Liga Super yang sudah berada dalam kelas tersendiri saingan Liga domestik.

Pertambahan daripada 10 kepada 12 pemain import ini membolehkan setiap pasukan yang menggalas nama Malaysia ke Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dan Kejuaraan Kelab-Kelab ASEAN (ACC) melakukan persiapan lebih rapi dalam pembentukan pasukan masing-masing sebelum saingan musim baharu.

Melihat kepada pelbagai sudut, aspek paling penting adalah matlamat membentuk generasi pemain skuad kebangsaan yang konsisten tidak hanya fizikal tetapi juga mental.

Pindaan ini sebenarnya bukan untuk ‘membunuh’ peluang pemain-pemain tempatan untuk menyarung jersi kelab masing-masing, sebaliknya menyahut cabaran supaya bekerja lebih keras untuk menyaingi pemain import. Landskap persekitaran industri sukan yang paling dekat di hati masyarakat sudah berubah mengikut tuntutan ‘sekali ombak menghempas, sekali pantai berubah’.

Tidak lagi seperti dulu apabila Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) melakukan transformasi terhadap kejuaraan anjuran badan induk tersebut baik peringkat negara seperti pusingan akhir Piala Dunia mahupun kejuaraan Piala Kelab Dunia.

Ia kemudian disusuli tindakan proaktif ahli gabungan badan induk tersebut seperti Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi nafas baharu terhadap kejuaraan anjuran masing-masing untuk memastikan relevan seiring dengan peredaran masa.

Perubahan terbaharu ini juga senada keputusan proaktif AFC yang memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain import tanpa had dalam kejuaraan kelab anjuran badan induk bola sepak Asia berkenaan dalam usaha memberi lebih peluang kepada kelab anggota gabungan menyaingi pasukan elit lain.

Pindaan juga dapat memberikan lebih ruang kepada kelab-kelab yang sudah matang mengekalkan daya saing dalam Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC untuk tampil lebih kompetitif dalam saingan berintensiti tinggi Asia dan ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Kelab Liga Super yang bijak memanfaatkan kebenaran penggunaan 12 pemain import secara tidak langsung akan menaikkan nilai komersial pasukan masing-masing apabila bertanding di pentas Asia dan ASEAN yang menjanjikan habuan cukup lumayan bagi setiap peringkat.

Setiap pasukan yang bertanding di pentas Asia dan ASEAN juga harus lebih bijaksana membuat keputusan dalam pengambilan pemain import baik dalam jangka pendek atau panjang supaya tidak membebankan kantung kewangan pasukan pada masa depan.

Ya, sememangnya keputusan membenarkan penambahan pemain import akan memberi kesan, dan pastinya akan lebih banyak cakap-cakap negatif daripada positif biarpun pengakhiran awalnya adalah membentuk pasukan yang mampu berdaya saing. Bukan sekadar untuk mengisi kuota tetapi juga mengelakkan menjadi mangsa belasahan atau diperkotak-katikkan gergasi Asia atau ASEAN lain.

Namun pada ketika ini untuk kelab-kelab Liga Super lain untuk berada dalam ‘next level’ banyak perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu dalam liga domestik. Pertama ialah kebajikan pemain dan keduanya, padang latihan yang akan menghadirkan keputusan positif dengan sendirinya.

Jika sebelum ini mungkin kelab-kelab Liga Super hanya bertatih dan merangkak sekitar pusingan 32 atau pusingan 16, tapi kini sudah boleh berlari-lari anak sambil memasang mimpi indah ke suku akhir dan separuh akhir sebelum memecut bagai halilintar ke pentas perlawanan akhir suatu masa nanti.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!