‘Jangan pandang serong dekat saya’
SHAH ALAM - “Walaupun penyakit ini tidak boleh sembuh, saya tidak kisah asalkan bersama isteri dan anak-anak yang banyak memberi sokongan.”
Demikian kongsi seorang pesakit sopak ataupun Vitiligo, Fahaizal Zee Mohd Jaafar, 53, yang tabah menghadapi tohmahan masyarakat sekeliling mengenai penyakitnya.
“Saya menghidap sejak dari 2012 dan bermula di sekitar jari tangan, kemudian barulah ia merebak ke bahagian yang lain.
“Doktor mengesahkan ia tidak berjangkit dan saya tidak mahu orang di luar sana pandang serong dekat orang yang berpenyakit seperti ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelas Fahaizal, penyakit itu akan merebak jika dia terdedah kepada makanan laut, alahan kepada ubat dan faktor cuaca yang panas.
“Sopak dikategorikan dalam penyakit jarang jumpa dan contohnya jika terdedah kepada cahaya matahari ia boleh mendedahkan risiko kanser kulit dan kulit akan menjadi kemerahan.
“Kalau silap makan pula akan kegatalan dan kulit akan menjadi lepuh,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman berhadapan dengan kutukan masyarakat, Fahaizal berkata, dia tidak akan cepat melatah sebaliknya akan mengelakkan diri daripada bertemu dengan mereka.
“Saya tidak pernah marah kerana selalunya kanak-kanak, itu pun kerana ahli keluarga yang menakutkan mereka.
“Ada yang cakap saya macam momok, sebab itu saya malas mahu melayan dan terus beredar dari tempat itu,” katanya.
Tambah Fahaizal, ejekan yang pernah diterima tidak akan membuatkan Fahaizal berasa sedih dan kurang berkeyakinan.
“Pernah sekali bangsa lain tegur mereka ingatkan saya seorang cina dan berpendapat saya lain daripada yang lain.
“Saya sangat suka dan itu menjadikan saya seorang yang lebih kuat untuk berdepan dengan hinaan masyarakat,” ujarnya.
Fahaizal berharap, orang ramai tidak akan memandang serong terhadap insan yang berpenyakit begini kerana itu adalah salah satu dugaan ALLAH SWT kepada mereka.
“Kepada keluarga, saya sangat bangga terutamanya isteri dan anak-anak kerana banyak memberi sokongan kepada seorang suami serta ayah yang sebegini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!