Beri subsidi pendidikan ikut prestasi pelajar, bukan status
MENJELANG pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memberi satu isyarat berhubung ketirisan subsidi pembiayaan pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi bayangan bahawa kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan elit dan maha kaya. Dana berkenaan sepatutnya diagihkan kepada golongan miskin dan benar-benar layak saja.
Ketegasan Perdana Menteri itu adalah baik dan pasti disokong oleh rakyat Malaysia dalam memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menikmati subsidi pendidikan.
Namun pelaksanaannya haruslah diteliti sebaiknya. Ini kerana tidak boleh dinafikan golongan elit dan kaya juga pembayar cukai yang menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.
Ada yang berpandangan, hal-hal berkaitan pendidikan tidak seharusnya bersifat pengasingan, sebaliknya anak-anak tidak kira daripada golongan kaya atau miskin wajar dinilai berdasarkan merit dan prestasi akademik, serta kemampuan kendiri mereka.
Selain itu, untuk mengklasifikasikan golongan elit dan kaya juga perlu telus serta jelas agar golongan T20 tidak akan berprasangka terhadap kerajaan pada hari ini. Misalnya, adakah justifikasi pemberian subsidi kepada golongan ini sama seperti tarif elektrik?
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa tidak wujud polisi hanya pelajar miskin dibenarkan mendapatkan pendidikan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Namun, keutamaan diberikan kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah atau B40.
Menurut Asyraf, polisi Mara menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah daripada golongan B40, manakala selebihnya pelajar yang lulus Ujian Kemasukan Ke MRSM (UKKM) dalam kalangan berpendapatan sederhana (M40) dan T20.Kerajaan boleh mengambil contoh usaha sama dilakukan golongan pendidik dan ibu bapa SJKC Yoke Kuan, Sekinchan di Sabak Bernam yang tidak kira sama ada golongan kaya dan miskin membina dewan sekolah persis di universiti.
Mungkin lebih baik jika kerajaan memikirkan bagaimana untuk menggalakkan anak-anak kita supaya minat belajar sehingga ke peringkat tinggi agar Malaysia melahirkan ramai generasi berilmu pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!