Sediakan alternatif jika mahu henti guna beg plastik
RAWANG - Pelanggan perlu diberikan alternatif sebelum penggunaan plastik dihentikan sepenuhnya di premis perniagaan termasuk pasar raya, kedai serbaneka serta rangkaian farmasi dan kecantikan.
Pesara, Mahmud Ahmad, 71, berkata, walaupun inisiatif tersebut baik kepada alam sekitar namun pengguna tidak harus dibebankan dengan pelaksanaan itu.
“Satu kerugian jika penggunaan beg plastik mahu dihentikan sepenuhnya kerana ia boleh dikitar semula sebagai beg sampah.
“Sepatutnya saintis atau pakar berperanan cari solusi terbaik kaedah pelupusan atau sistem kitar semula seperti di India yang mana plastik dileburkan semula untuk dijadikan perabot,” katanya.
Menurutnya, langkah menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya tidak praktikal selagi proses pengeluaran bahan berkenaan masih diteruskan.
“Jika mahu mansuh maka tutup semua kilang pembuatan plastik supaya tiada lagi pengeluaran di peringkat peruncitan.
“Walaupun tidak dibekalkan beg plastik tapi pelanggan masih boleh beli pada harga 20 sen, jadi tujuan mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan capai objektif selagi ada penawaran,” katanya.
Bekas peniaga, Seripah Zaiton, 71, berkata, perkhidmatan pembungkusan harus diberikan secara percuma kepada pelanggan.
“Langkah dilakukan kerajaan bagus tapi kalau tak ada beg plastik langsung pun susah kerana ia merupakan keperluan.
“Zaman dulu tak ada plastik tapi bungkus guna kertas. Kalau nak hapuskan beg plastik kena sediakan alternatif kepada pelanggan,” katanya.
Jurutera, Haris Ishak, 50, berkata, langkah menghentikan penggunaan beg plastik disambut baik namun usah jadikan keputusan itu sebagai peluang perniagaan.
“Hapuskan terus jangan ada yang jual biar semua pelanggan bawa beg sendiri dari rumah.
“Namun masih ada peniaga tawarkan pada harga RM1 seolah-olah ia satu perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!