SPRM ubah kaedah siasatan jenayah rasuah - Azam Baki

SPRM menyambut ulang tahun ke-57 pada Selasa.
SPRM menyambut ulang tahun ke-57 pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan penggunaan teknologi dalam kaedah penyiasatan mereka seiring dengan perkembangan jenayah rasuah yang semakin rumit dan kompleks.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berbanding lima tahun lalu, kaedah penyiasatan suruhanjaya kini telah berubah dan ditambah baik dengan penggunaan sistem sumber terbuka (open-source system) yang mampu mengumpul maklumat bagi membina profil seseorang suspek dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata. sistem yang telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa ini membolehkan SPRM melakukan analisis terhadap lokasi suspek serta mengumpul maklumat yang diperlukan sebelum tindakan siasatan lanjut diambil.

"Kini, pegawai kami tidak lagi perlu melakukan pemantauan di lapangan terhadap suspek, yang mungkin memakan masa. Dengan kaedah ini, kami telah mengurangkan keperluan penggunaan tenaga manusia dalam siasatan, sambil meningkatkan kelajuan penyiasatan yang seterusnya banyak membantu dalam proses pendakwaan.

Azam
Azam

"Kita telah memperkemaskan cara pegawai menjalankan risikan dan siasatan. Jika lima tahun lalu, kami lebih banyak bergantung kepada pegawai risikan di lapangan, kini kami menggunakan sistem yang ada untuk menganalisis serta mengesan suspek," katanya dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun ke-57 SPRM di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Azam menjelaskan bahawa dengan bantuan teknologi tersebut, penyiasatan dan risikan terhadap sesuatu kes dapat dilakukan dengan lebih pantas, teratur, dan lengkap. Ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sabitan dalam kes-kes yang disiasat.

Menurut Azam, pihaknya juga sedang melengkapkan pegawai-pegawai SPRM dengan kemahiran dalam bidang keselamatan siber dan mata wang kripto, yang kini menjadi platform baharu digunakan oleh penjenayah yang terlibat dalam rasuah untuk menyimpan wang haram mereka

Artikel Berkaitan:

"Pengetahuan mengenai mata wang kripto merupakan satu daripada kaedah baharu di mana mereka yang terlibat dalam rasuah menyimpan hasil haram dalam bentuk ini. Pegawai saya sedang dilatih dan dilengkapi dengan ilmu untuk mengesan wang-wang yang disimpan sebagai mata wang kripto, bagi tujuan pendakwaan serta pemulangan kepada kerajaan,” katanya.

Selain itu, Azam berkata, bagi memastikan keselamatan anggota ketika menjalankan operasi di kawasan berisiko dan berbahaya, SPRM telah menubuhkan Pasukan Taktikal SPRM (ACTS), seperti yang dilihat dalam operasi serbuan di Sibu, Sarawak

Katanya, pasukan tersebut dianggotai oleh 20 pegawai yang lengkap bersenjata terkini dan telah menjalani latihan bersama VAT 69 Komando di Perak.

Menurut Azam, membanteras rasuah dalam sektor awam masih menjadi keutamaan agensi tersebut dalam usaha untuk mengekang ketirisan wang kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan statistik SPRM bagi tempoh 2020 hingga 2024, sebanyak 30,483 maklumat berkaitan isu rasuah telah diterima, dan daripada jumlah itu, 17,892 atau 58 peratus membabitkan penjawat awam.

"Sepanjang tempoh tersebut, SPRM telah membuka 2,123 kertas siasatan dan melakukan tangkapan terhadap 2,046 penjawat awam. Sebanyak 1,036 pertuduhan telah dibawa ke mahkamah, manakala 464 penjawat awam telah disabitkan bersalah,” katanya.

Azam berkata, kesalahan yang dilakukan melibatkan 1,124 kes penerimaan rasuah, 445 kes tuntutan palsu, 19 kes pemberian rasuah, 320 kes penyalahgunaan kedudukan, 57 kes pengubahan wang haram, 153 kes di bawah Kanun Keseksaan, dan lima kes di bawah akta lain.

Beliau berkata, sejajar dengan perkembangan semasa, SPRM kini memberi tumpuan kepada kes-kes yang melibatkan penguatkuasaan, perolehan, dan rasuah berskala besar (grand corruption), yang menjadi punca utama ketirisan hasil kerajaan, dianggarkan berjumlah RM277 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Azam berkata, SPRM kini lebih menumpukan siasatan terhadap kes-kes yang berkaitan dengan kepentingan awam atau melibatkan perlakuan sekumpulan pegawai atau anggota penguat kuasa.

Menurutnya, sepanjang tahun 2024, SPRM telah melaksanakan empat operasi berskala besar. Antaranya adalah Op Samba, yang melibatkan kegiatan penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan ketirisan lebih RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Seramai 23 pegawai kastam telah dituduh.

"Op Transit pula melibatkan penyeludupan di Pelabuhan Klang, menyebabkan ketirisan lebih RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu, manakala Op Pump membabitkan pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing di KLIA dan KLIA2," katanya.

"Selain itu, Op Liter yang dijalankan di Sibu, Sarawak telah membongkar ketirisan sebanyak RM400 juta sejak tahun 2012 akibat pencurian diesel bersubsidi yang diperuntukkan kepada nelayan," katanya.

Menurut Azam, berdasarkan maklumat, terdapat kira-kira RM30 bilion ketirisan yang beredar di pasaran gelap hasil daripada kegiatan jenayah seperti penyeludupan, perjudian, dan rasuah. Oleh itu, agensi-agensi penguat kuasa perlu bekerjasama lebih erat untuk memulangkan wang tersebut kepada kerajaan.

"Wang ini boleh dikembalikan kepada kerajaan sekiranya kita menjalankan usaha bersama dan bekerjasama dalam operasi bagi memastikan wang-wang ini dikembalikan.

"Bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri, kita telah berjaya mengutip RM500 juta pada tahun ini untuk dipulangkan kepada kerajaan. Ini adalah satu pemangkin yang baik, dan jika lebih banyak agensi penguat kuasa dapat bekerjasama, sudah tentu lebih banyak wang yang tiris hasil daripada kegiatan jenayah dapat dikembalikan kepada negara,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!