Lelaki warga Thailand didenda RM3,500 beri maklumat palsu
KEMAMAN - Seorang lelaki warga Thailand didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada 21 Ogos lepas.
Tertuduh, Nasir, 38, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shadha Amir Shariffuddin.
Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengemukakan maklumat butir material palsu semasa permohonan gantian kad pengenalan kategori hilang di JPN daerah Kemaman pada 21 Ogos lepas.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa
JPN Negeri Terengganu, Norjannah Mariam Hanna Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!