[VIDEO] Pemandu lori tidak mengaku memandu di bawah pengaruh dadah

A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memandu dalam keadaan pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh Jimhar Albasar, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Nissan didapati memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 31 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 September lalu jam lebih kurang 4.15 petang di Jalan Persiaran Negeri di Nilai.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jimhar (tengah) diiring polis ketika hadir ke mahkamah, pada Selasa.
Jimhar (tengah) diiring polis ketika hadir ke mahkamah, pada Selasa.

Peguam, S Partheeban merayu anak guamnya dikenakan jaminan rendah atas alasan dia menanggung dua anak masih kecil serta isterinya sedang mengandung tujuh bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius yang melibatkan kemalangan lima kenderaan lain sehingga mengakibatkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 25 November depan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM 50,000 dan tidak lebih RM 100,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.

Selain itu di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah berbahaya jenis Methamphetamine ke dalam dirinya pada tarikh sama, jam 11.55 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah Nor Azmi kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Majistret, Nurul Saqinah Rosli kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 25 November lalu.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk dua kanak-kanak cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.

Siasatan awal mendapati insiden berlaku selepas lori dipandu suspek dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai hilang kawalan dan terbabas melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!