Bunuh abang kandung: Lelaki diarah jalani penilaian mental

Tertuduh yang berdepan tuduhan membunuh abang kandung dalam kejadian 25 September lalu, diarah menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan.
Tertuduh yang berdepan tuduhan membunuh abang kandung dalam kejadian 25 September lalu, diarah menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan.
A
A
A

MANJUNG - Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa mengarahkan seorang lelaki yang dituduh membunuh abang kandungnya menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan.

Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid mengeluarkan perintah itu terhadap Mohd Khairul Hadafi Mohd Taib, 40, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah berikutan keadaan mental tertuduh tidak stabil.

Terdahulu, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Fakhrul Razzi.

Tertuduh yang merupakan anak keempat daripada enam beradik didakwa dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian abangnya, Mohamad Khairul Ridzuan Mohd Taib, 46.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong 2, Taman Muhibbah, Sitiawan dalam daerah Manjung sekitar jam 2.25 pagi hingga 2.39 pagi pada 25 September 2024.

Tertuduh di dakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh telah ditahan polis pada hari sama kejadian dan direman selama tujuh hari untuk siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian sekitar jam 2.40 pagi itu, mangsa ditemui tertiarap dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah, manakala tujuh ahli keluarga lain termasuk tertuduh berjaya menyelamatkan diri.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkemungkinan dibunuh sebelum kediaman itu dibakar.

Berdasarkan siasatan, ada saksi melihat kehadiran tertuduh masuk ke dalam rumah dan mendengar bunyi hentaman di ruang tamu rumah.

Saksi juga melihat lelaki sama keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!