PM mahu Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan AI siap kurang 12 bulan

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini adalah satu daripada dapatan utama berkaitan teknologi yang disasarkan dalam tempoh berkenaan, dan berharap sasaran itu mampu dicapai lebih awal.

"Apabila saya kata 12 bulan, ia cadangan menteri, bagi saya tiada sebab untuk tunggu 12 bulan, sepatutnya enam bulan boleh siap,” katanya ketika berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event di sini pada Selasa.

Anwar (dua dari kiri) pada Selasa menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google. Foto Bernama
Anwar (dua dari kiri) pada Selasa menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google. Foto Bernama

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Anwar berkata, kerajaan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi AI dalam sektor-sektor utama di seluruh Malaysia, sambil menyatakan bahawa dengan menerima teknologi tersebut, agensi-agensi kerajaan dapat mengoptimumkan proses, mengurangkan kos, dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Contoh ketara ialah penciptaan platform DELIMa oleh Kementerian Pendidikan melalui teknologi awan Google. Saya telah melihatnya, ia sangat mengagumkan dan memberi sumbangan besar dalam meningkatkan standard pendidikan serta mengubah pengalaman pendidikan.

"Saya gembira untuk menyatakan bahawa 5.5 juta pelajar dan guru di Malaysia hari ini menggunakan platform DELIMa. Usaha ini wajar dicontohi oleh seluruh jentera kerajaan, di mana sesuai, saya akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu)," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

______________________________________________________________________

PM hadiri majlis pecah tanah pusat data Google bernilai AS$2 bilion

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google bernilai AS$2 bilion (RM8.3 bilion) di Malaysia yang diadakan pada acara "Mantap Malaysia Bersama AI" yang julung kali diadakan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pusat data yang kini dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor, akan menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital lain yang digunakan setiap hari oleh individu serta organisasi di Malaysia.

Pelaburan Google dijangka dapat menjana impak ekonomi bernilai lebih AS$3.2 bilion (RM12.3 bilion) selain mewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, komitmen syarikat itu terhadap usaha kemajuan digital Malaysia dapat dilihat menerusi pusat data dan wilayah awan berkenaan di Selangor.

"Pelaburan Google dalam aspek infrastruktur, kemahiran digital dan kemampanan memaparkan kemajuan dalam usaha bersama kami dengan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada komuniti serta syarikat tempatan," katanya pada majlis berkenaan.

Pada masa sama, Porat menekankan bahawa Google akan menyokong inovasi dan pertumbuhan di Malaysia selain membolehkan individu dan perniagaan memaksimumkan potensi era digital.

"Dalam usaha ini, Google akan meneruskan pemantauan sumber asli yang bertanggungjawab dengan meningkatkan ekosistem kawasan tadahan air komuniti di Malaysia selain membantu memacu penggunaan sumber tenaga boleh baharu tempatan," katanya.

Majlis pada hari ini adalah susulan kepada pengumuman Google Cloud pada 2022 bagi mewujudkan rantau awan tempatan untuk kemudahan organisasi sektor awam, perniagaan kecil hingga sederhana, syarikat pemula niaga serta perusahaan besar dengan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran, AI dan pembelajaran mesin yang lebih pantas dan mudah diakses.

Wilayah awan itu akan menawarkan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah yang membolehkan pelanggan menikmati aspek keselamatan data yang maksimum dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data yang khusus. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!