Kronologi kehilangan Sabari Baharom

Pencarian jasad Sabari memasuki hari kedua di Sungai Padang Terap dengan radius yang lebih luas.
Pencarian jasad Sabari memasuki hari kedua di Sungai Padang Terap dengan radius yang lebih luas.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Misteri kehilangan bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan, Sabari Baharom, 62, di Baling akhirnya terungkai selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki membunuh mangsa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat suspek, Sabari dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Berikut kronologi kes itu:

3 September 2024

Sabari, 62, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling di Kedah. Kehilangannya disedari anggota keluarga selepas telefon bimbit miliknya gagal dihubungi. Ahli keluarga melakukan usaha pencarian termasuk memohon bantuan di media sosial.

4 dan 5 September 2024

Seorang wanita tempatan dilaporkan melakukan transaksi wang daripada akaun Sabari hasil penelitian polis melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).

20 September 2024

Artikel Berkaitan:

Anak Sabari dimaklumkan mengenai penemuan Proton Waja yang dipandunya ditemui penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik.

24 September 2024

Polis mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Sabari.

27 September 2024

PDRM Kedah berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang disyaki dapat membantu siasatan kes.

Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua tersebut bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra Kedah dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

30 September 2024

Operasi mencari jasad mangsa di Sungai Padang Terap Jitra, Kedah dijalankan oleh polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melibatkan radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dibuang.

1 Oktober 2024

Operasi pencarian jasad mangsa diteruskan pada hari kedua bermula jam 9 pagi dengan radius diperluaskan kepada 12.8 kilometer dari Jambatan Kampung Empa yang dipercayai lokasi mangsa dibuang.

Satu lagi sektor pencarian adalah melibatkan kawasan Loji Rawatan Air Pelubang ke Tandop Chegar melibatkan radius kira-kira tujuh kilometer.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!