Angkasa bantu penjenamaan semula koperasi vanila
ANGKATAN Koperasi Berhad Kebangsaan (Angkasa) akan membantu dalam penjenamaan semula koperasi vanila di negeri ini yang ditubuhkan sejak 2020.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu akan dilakukan menerusi pembangunan perniagaan susulan potensi, kualiti dan pulangan tinggi tanaman tersebut di negara ini.
Menurutnya, Angkasa bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperkasakan semula koperasi berkenaan.
"Langkah ini untuk memastikan pengeluaran vanila dalam negara dapat memenuhi keperluan dalam negara.
"Malaysia antara negara pengimport vanila dan sebagai contoh pada 2022, negara ini mengimport dari seluruh dunia bernilai kira-kira 243 juta dolar," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Angkasa Pahang Zon II Pahang Tengah, Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty; Pengerusi Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik Angkasa, Dr Salmah Ishak dan Pengerusi Koperasi Vanila Berhad Temerloh, Mohamad Feisal Mohd Norawi.
Ujar Abdul Fattah, penjenamaan semula ini akan memperluaskan skop aktiviti termasuk menyediakan bahan dan menguruskan tanaman, latihan kepada bakal pengusaha serta menguruskan tanaman vanila.
"Dalam masa sama, kita akan membeli balik hasil vanila dari ahli-ahli koperasi sama ada dalam bentuk mentah atau yang diproses.
"Kita percaya langkah ini dapat membantu lebih ramai mereka yang berminat untuk terlibat dalam penanaman dan dalam masa sama dapat memperkasakan industri vanila di negara ini," tambahnya.
Jelasnya, dalam mesyuarat akan datang, skop keahlian akan dibuka kepada seluruh negara memandangkan sebelum ini ia terhad di negeri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!