Pacuan empat roda dinaiki Khadijah Ibrahim berpusing, terbalik - Polis
BEAUFORT - Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Datuk Khadijah Ibrahim yang terlibat dalam kemalangan pada Isnin dikatakan berpusing sebelum terbalik di Jalan Kinamas, di sini.
Bagaimanapun, penyanyi veteran berusia 64 tahun dalam keadaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda tersebut dalam perjalanan dari arah Beaufort menuju ke Kota Kinabalu manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di lokasi, MPV tersebut telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan yang dilalui pacuan empat roda tersebut.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat menyebabkan pacuan empat roda cuba mengelak ke sebelah kiri namun telah dilanggar oleh MPV berkenaan di bahagian tayar belakang kanan.
"Akibat daripada itu, pacuan empat roda tersebut berpusing dan terbalik manakala MPV berhenti di tempat kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Katanya lagi, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius namun kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Ismail dalam pada itu turut menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya.
"Selain itu, orang ramai diminta memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan penyanyi lagenda itu terlibat kemalangan selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaikinya bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Avanza.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, beliau dan empat lagi mangsa lain dilaporkan cedera dan mendapat rawatan lanjut di hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!