Penunggang motosikal maut nahas lima kenderaan

Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan lima kenderaan berhampiran Kolej Widad di jejambat Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman pada Isnin. Foto Ihsan PDRM
Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan lima kenderaan berhampiran Kolej Widad di jejambat Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman pada Isnin. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan lima kenderaan berhampiran Kolej Widad di jejambat Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, kemalangan terbabit melibatkan motosikal, Proton Waja, jentera pengorek dan dua Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dikenali Wai Siew Kiang, 43, beralamat Taman Desa, Kuala Lumpur meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila jentera pengorek ketika bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba telah dilanggar oleh motosikal dari arah belakang.

"Selepas beberapa minit kemudian, datang Perodua Myvi berwarna hitam yang berada di lorong sebelah kiri jalan telah hilang kawalan dan melanggar motosikal terbabit.

"Semasa kejadian itu, Perodua Myvi terbabit telah mengelak dan mengubah lorong dari lorong kiri ke lorong kanan hingga mengakibatkan berlaku pergeseran dengan Proton Waja yang berada di lorong kanan.

"Selepas itu, sebuah lagi Perodua Myvi yang datang dari arah belakang juga telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Perodua Myvi hitam terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi hitam dan tiga penumpang serta dua pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati, kecuaian berpihak kepada penunggang motosikal terbabit kerana dipercayai telah mengekori rapat dan hilang kawalan sehingga mengakibatkan kemalangan.

Tambahnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!