Koronavirus: Cari alternatif untuk atlet jalani latihan, kejohanan

Ahmad Shapawi Ismail
Ahmad Shapawi Ismail
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) meminta persatuan sukan kebangsaan untuk mencari alternatif lain bagi mengelak atlet negara menjalani latihan mahupun menyertai kejohanan di China, berikutan wabak novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV).

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, walaupun setakat ini tidak ada sebarang arahan atau sekatan perjalanan untuk ke mana-mana wilayah di negara China kecuali ke kawasan penularan wabak di Wuhan, namun persatuan sukan perlu mengelak ke negara itu buat masa ini.

"Kita berpegang kepada arahan (tidak berkunjung ke Wuhan). Contohnya, jika ada kejohanan yang berlangsung di Beijing dan penganjur memastikan prosedur dipatuhi dan kita pula perlu mengambil bahagian, kita mungkin akan buat keputusan untuk berbuat demikian, namun kalau boleh kita elakkan khususnya ke negara China buat masa ini.

"Kita cari alternatif lain selain dari kawasan yang terkesan atau ke negara berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Bengkel Pelan Periodisasi 2020 di Bukit Jalil hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi mengakui 2019-nCoV sedikit menjejaskan persiapan atlet, khususnya mereka yang dalam proses melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ekoran penganjur menangguhkan beberapa kejohanan.

Jelasnya, langkah penangguhan kejohanan itu merupakan kesan global yang turut dirasai atlet seluruh dunia yang masing-masing memburu slot ke Olimpik.

Kejohanan yang telah dibatal atau ditangguhkan di China termasuklah Kejohanan Olahraga Asia kesembilan di Hanzhou pada 12 dan 13 Februari (dibatalkan), Kejohanan Olahraga Indoor Sedunia 2020 di Nanjing (tangguh), Badminton Masters China pada 25 Februari hingga 1 Mac di Lingshui Agile Gymnasium, Sanya (tangguh).

AFC juga pada Selasa, memutuskan menunda perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan kelab-kelab dari China, manakala dua pasukan berpangkalan di China, Hengxiang Cycling dan Giant Cycling Team, menarik diri daripada menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula 6 Februari sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Shapawi berkata, tiada perancangan untuk memanggil penerjun negara Cheong Jun Hoong, 29, yang kini menjalani latihan di China, di bawah program khas bersama bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang di Qinhuangdao, pulang ke Malaysia.

"Bukan kita tidak ambil berat mengenai keselamatan Jun Hoong tapi dia sendiri memaklumkan sangat selesa dengan keadaan sekarang yang memberi kelebihan kepadanya untuk menumpukan kepada latihan bersama jurulatihnya.

"Kebetulan dia menikmati suasana latihan yang terbaik dan seperti kurantin. Jun Hoong sedang menikmati kemudahan dan suasana latihan dengan bagus dan jurulatih, Yang Zhuliang juga minta tangguh dulu (kepulangan ke Malaysia). Jika keadaan mendesak, mereka akan balik ke Malaysia," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!