Peralihan lesen Kelas B: Semak kelayakan terlebih dahulu

Aedy Fadly (tiga dari kiri) melihat proses ujian yang dilakukan peserta Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di Kajang, pada Selasa. Ujian pusingan nombor 8 antara yang perlu dilepasi calon Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B.

A
A
A

KAJANG - Tiga syarat utama ditetapkan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B.

Syarat pertama ialah warganegara Malaysia, kedua, memiliki lesen memandu kompetan (CDL) Kelas B2/B1 yang sah dan berkuat kuasa secara berterusan serta ketiga ialah bebas daripada senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod disabitkan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pemegang LMM Kelas B2/ B1 yang layak boleh membuat permohonan bagi mengikuti program khas tersebut bermula 1 Oktober.

Menurutnya, semakan kelayakan boleh dibuat di aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my); atau kaunter JPJ.

Aedy Fadly (tengah) ketika meninjau proses Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di Kajang pada Selasa.
Aedy Fadly (tengah) ketika meninjau proses Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di Kajang pada Selasa.

"Sekiranya layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana 180 institut memandu yang terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan program ini.

"Pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan, fizikal dan minda semasa pendaftaran di institut memandu," katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau sesi ujian program berkenaan di Amsa Bangi Driving Academy di sini pada Selasa.

Beliau berkata, maklum balas orang awam untuk program ini adalah tinggi dan pihaknya juga sedang mengambil tindakan untuk menaik taraf sistem aplikasi MyJPJ bagi memastikan ia mudah menerima capaian akses yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, JPJ juga ingin memaklumkan kadar siling fi kepada institut memandu bagi program khas ini ialah RM160.

"Kadar fi ini merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (2 Jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ.

"Program ini bertujuan untuk menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di institusi memandu," ujarnya.

Jelasnya, maklumat lanjut berhubung program ini boleh layari www.jpj.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!