Hakim tanya peguam Najib beza antara perbelanjaan peribadi dan politik

Muhammad Shafee (kanan) yang mewakili Najib. Foto Bernama
Muhammad Shafee (kanan) yang mewakili Najib. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hakim dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengajukan soalan kepada pasukan pembelaan mengenai perbezaan antara perbelanjaan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu untuk tujuan peribadi dan politik.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengemukakan soalan tersebut kepada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa beliau mengemukakan hujah pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Sequerah: Adakah terdapat sebarang perbezaan antara perbelanjaan untuk tujuan politik dan peribadi?

Muhammad Shafee: Kami telah membuktikan bahawa 99 peratus daripada wang dalam akaunnya tidak digunakan untuk tujuan peribadi, sebagai contoh, beliau tidak membeli pesawat peribadi atau membelanjakan semua orang dengan champagne di bar New York, atau perkara seperti itu.

"Yang Arif, saya terpaksa menggunakan istilah ini; ia bertentangan dengan patologi rasuah jika seseorang mengambil wang ini dan membelanjakannya bukan untuk kegunaan peribadi, tetapi untuk manfaat orang ramai, walaupun beliau mungkin merupakan sebahagian daripada orang ramai,” kata peguam itu sambil menambah bahawa Najib telah menggunakan RM300 juta yang berasal daripada 1MDB untuk pilihan raya umum 2013

Ketika ini, Hakim Sequerah menyoal peguam veteran tersebut sama ada terdapat undang-undang kes terdahulu yang menyokong hujahnya.

Sebagai respons, Muhammad Shafee menjawab "ia adalah inferens fakta" dan tiada kes duluan seperti kes 1MDB Najib.

Hakim kemudian meminta komen daripada pihak pendakwaan mengenai perkara ini, dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kamal Bahrin Omar menjawab bahawa mereka hanya mengambil kira fakta bahawa wang yang didakwa, yang masuk ke dalam akaun Najib, adalah hasil daripada aktiviti haram.

Artikel Berkaitan:

Rakan TPR, Ahmad Akram Gharib, menambah bahawa tidak menjadi hal sama ada Najib menggunakan wang yang didakwa itu untuk tujuan peribadi atau politik.

"Undang-undang menyatakan bahawa ia adalah untuk kepentingannya," katanya.

Najib, 71 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 yang dikaitkan dengan transaksi di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Perbicaraan diteruskan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!