Penjawat awam calon pertama lulus program lesen Kelas B

Aedy Fadly menunjukkan dokumen kelulusan Afifi (kiri) selepas menjadi individu pertama sertai Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di Kajang, pada Selasa.
Aedy Fadly menunjukkan dokumen kelulusan Afifi (kiri) selepas menjadi individu pertama sertai Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di Kajang, pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Seorang kakitangan kerajaan bertuah selepas menjadi peserta pertama bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B.

Afifi Anuar, 30-an, berkata, dia merupakan pemegang lesen Kelas B2 kira-kira 20 tahun.

"Sangat teruja apabila layak sebagai peserta pertama untuk program khas ini.

"Hari ini, saya menjalani latihan selama dua jam sebelum mengambil ujian. Alhamdulillah, hanya sekali dan berjaya lulus walaupun rasa gemuruh kerana selepas beberapa tahun saya ambil semula lesen motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani ujian litar bagi Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di Amsa Bangi Driving Academy di sini pada Selasa.

Tambah Afifi, pengalamannya menunggang motosikal dari rumahnya di Klang ke tempat kerja di Bangi banyak membantu untuk lulus ujian di program ini.

Afifi perlu melalui ujian titi bagi melengkapkan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B.
Afifi perlu melalui ujian titi bagi melengkapkan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B.

Artikel Berkaitan:

Biar pun belum memiliki motosikal berkuasa tinggi, katanya, dia mahu mengambil peluang menyertai program berkenaan memandangkan melepasi syarat kelayakan ditetapkan.

"Sebelum ini, saya tiada masa dan peluang untuk mengambil lesen ini. Apabila layak (menyertai program berkenaan), saya terus mendaftar kerana bayaran untuk dapatkan lesen ini juga murah iaitu RM160.

"Apabila sudah berjaya (lulus ujian), pastinya saya berasa bangga," katanya yang berhasrat membeli motosikal berkuasa tinggi pada tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli turut mengucapkan tahniah kepada Afifi.

"Beliau (Afifi) merupakan orang pertama yang dapat lesen Kelas B dalam program ini.

"Selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Malaysia, JPJ ingin memaklumkan bahawa pemegang LMM Kelas B2/ B1 yang layak boleh membuat permohonan bagi mengikuti program khas tersebut di mana-mana institut memandu terpilih di seluruh Malaysia bermula hari ini (1 Oktober)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!