Buat laporan sekiranya kenderaan 'total lost' digunakan semula
KAJANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa mana-mana individu yang mendapati kenderaan mereka digunakan semula di jalan raya selepas rosak sepenuhnya (total lost) untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mengambil serius berhubung isu berkenaan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.
"Saya menasihatkan individu terbabit serta mana-mana pihak yang mengalami situasi sama supaya membuat laporan kepada pihak polis dan JPJ bagi membolehkan siasatan dilakukan sekiranya terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan semula kenderaan itu (total lost)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tinjauan hari pertama perlaksanaan Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di sini pada Selasa.
Baru-baru ini, tular mesej individu di aplikasi Telegram yang mendakwa saudaranya terserempak dengan keretanya yang sudah 'total lost' berada di jalan raya.
Malah, semakan dilakukan individu terbabit menerusi aplikasi MyJPJ turut mendapati cukai jalan kenderaan itu yang diisytihar sebagai rosak sepenuhnya sejak 12 tahun lalu masih aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!