Mayat lelaki dikhuatiri lemas ketika menjaring ikan ditemui
PEKAN - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas setelah dibawa arus ketika menjaring ikan di Sungai Lepar berhampiran Ladang LKPP Jalan Gemuruh ditemui pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dikenali Muhamad Saifol Azmi Adiauddin, 33, telah ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 10.20 pagi.
Menurutnya, mangsa ditemui sejauh 25 meter dari tempat kejadian.
"Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu bersama enam anggota PPDA dari BBP Pekan membuat pencarian di permukaan air dua kilometer radius dari tempat mangsa lemas.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.19 petang pada Isnin.
Berdasarkan maklumat, seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala dua lelaki yang juga rakan mangsa selamat dikatakan sedang melakukan aktiviti menjaring ikan di sungai tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!