MAH Terengganu nafi daftar masuk hotel jam 4 petang
KUALA TERENGGANU - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu menafikan kesemua hotel di bawah persatuan itu menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengerusinya, Suaibah Harun berkata, setakat ini waktu daftar masuk premis hotel di negeri ini masih mengikut operasi yang ditetapkan iaitu bermula jam 3 petang dan keluar pada jam 12 tengah hari.
Menurutnya, setiap pemilik hotel bebas menetapkan waktu daftar masuk dan keluar premis mengikut kesesuaian dan kemampuan perniagaan masing-masing.
"Kita juga ambil maklum isu yang sedang tular di media sosial baru-baru ini. Kita sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam memastikan industri perhotelan di Terengganu terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan.
"Matlamat kami adalah memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan khidmat diberikan termasuk sedia
bertoleransi sekiranya ada dalam kalangan pelanggan yang memerlukan daftar masuk lebih awal dan daftar keluar lebih lewat atas sebab-sebab tertentu," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Suaibah berkata, terdapat 181 buah hotel dan resort berdaftar di Terengganu dengan 36 daripada berdaftar di bawah MAH.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan hotel sebelum membuat tempahan.
"Langkah membaca dan memahami terma syarat itu penting bagi mengelakkan berlaku salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan," jelas beliau.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sesetengah hotel kini menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi.
Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel yang menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.
Lebih malang lagi, ada pelanggan dikenakan caj tambahan jika terlewat daftar keluar walaupun lewat kemasukan akibat menunggu ketersediaan bilik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!