Kafe terbakar selepas dua minggu tambah baik
KOTA BHARU - Luluh hati seorang pemuda melihat kafe yang diusahakan bersama dua rakan, Jun lalu lalu hangus dalam kejadian Ahad lepas.
Lebih menyedihkan kebakaran berlaku selepas dua minggu mereka melakukan pembaikan dan penambahan peralatan untuk keselesaan pelanggan.
Muhamad Syaamil Adliey Mat Soro, 20, memberitahu, dia menerima panggilan telefon kira-kira jam 8 pagi daripada rakan kongsi, Muhammad Shahmie Faiz Shafie, 24, memaklumkan Redup's Cafe terbakar sebelum bergegas ke lokasi.
"Sebaik sampai, saya hanya melihat asap dan anggota bomba yang masih memeriksa kawasan itu sedangkan yang lain semuanya hangus.
"Luluh hati kami kerana 70 peratus hasil usaha selama lebih tiga bulan musnah dan sebahagian lagi hanya tinggal debu," katanya kepada Sinar Harian.
Muhamad Syaamil Adliey mengakui kini dia dan Muhammad Shahmie Faiz reda dengan ujian dan ketentuan ALLAH SWT.
Katanya, rumah kedai dua tingkat itu dijadikan kafe selepas dia dan dua rakannya berbincang untuk menceburi industri itu.
Menurutnya, mereka bertiga menghabiskan lebih RM25,000 untuk membaiki dan menghias ruang dalaman bangunan lama berkenaan bagi memastikan keselesaan pelanggan.
"Bagaimanapun, seorang rakan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perniagaan itu tetapi saya dan Muhammad Shahmie Faiz tetap meneruskan minat kami.
"Saya dan Muhammad Shahmie Faiz kemudian menghabiskan lebih RM7,000 untuk menambah baik kafe moden itu kerana gembira melihat sambutan daripada pelanggan," katanya.
Jelasnya lagi, tidak putus asa dengan insiden itu, mereka berbincang dengan pemilik premis dan membuat keputusan meneruskan perniagaan walaupun mengambil masa untuk kembali seperti biasa.
Jelasnya, mereka kini terpaksa bekerja dan sedang berusaha mengumpul semula wang sebagai modal untuk membeli beberapa peralatan utama.
"Kami juga perlu menambah simpanan yang ada bagi memastikan kafe yang mula dibuka dua hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha dapat dibaiki dan menerima semula pelanggan.
"Pemilik premis juga boleh berkompromi dan bersetuju tidak mengenakan sewa selama dua atau tiga bulan kerana simpati terhadap kami," katanya.
Muhamad Syaamil Adliey sebelum itu berkongsi di media sosial keadaan kafe yang musnah dalam kebakaran berkenaan serta menerima banyak reaksi simpati daripada netizen serta mendoakan yang terbaik untuk dia dan rakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!